Monday 3 December 2012

Tips: Mereka suka belajar


Assalamualaikum sahabat-sahabat ;)
Selalunya bukan mudah bukan nak minta anak-anak kecil belajar.  Sekurang-kurangnya lebih susah daripada suruh mereka bermain permainan komputer,  atau menonton televisyen.  Kita dulu pun kadang-kadang ada sedikit liat bila di suruh belajar.   Jadi macam mana nak buatkan mereka suka dan seronok untuk belajar?


 1.  Tempat

* Sediakan tempat belajar yang selesa supaya mereka dapat menumpukan perhatian kepada apa yang dipelajari
* Elakkan gangguan bunyi,  dan gangguan lain yang boleh menyebabkan terganggu tumpuan mereka.
* Kalau ada ruang khas untuk belajar itu lebih baik,  ceriakan tempat belajar dengan hiasan ringkas.

Keterangan gambar:  Tempat yang saya sediakan untuk anak-anak buah belajar.
Terutamanya untuk peperiksaan akhir tahun baru-baru ni.  Ruang ini merupakan
tempat makan dapur ke-2 yang tidak digunakan. Belum sempat dicat. InsyaAllah
sebolehnya akan dicat dengan cat warna aqua . Segar sikit nak belajar.
2. Kelengkapan



* Sediakan kelengkapan asas yang secukupnya untuk memudahkan mereka belajar terutamanya alat tulis.
* Tak perlu mahal,  tapi biarlah semuanya cukup dan sederhana.
* Sambil-sambil itu,  bolehlah menerapkan nilai tanggungjawab menjaga barang sendiri.



3.  Suasana


*  Setiap hari,  perlu kreatif untuk mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan.  Jadi tidaklah mereka rasa aktiviti belajar sesuatu yang terlalu rutin dan membosankan.
*  Kadang-kadang saya akan buat kuiz  dalam waktu mereka belajar.  Setiap orang akan diberikan markah,  dan dikumpulkan sehingga keputusan ujian@ peperiksaan dikeluarkan.  Itu motivasi untuk mereka belajar lebih daripada orang lain.
*  Ubah-ubah jadual.  Contohnya kalau hari ini, bermula selepas Isyak dengan matapelajaran Sains,  esoknya mulakan dengan matapelajaran Matematik pula.
* Kaitkan matapelajaran dengan persekitaran.  Berceritalah kepada anak-anak dan kaitkan apa yang mereka sedang belajar,  dengan alam sekeliling.  Contohnya,  sekarang ini ada 5 biji oren dan kita ada 10 orang,  berapa potong oren yang diperolehi setiap orang.  Buat aktiviti tersebut,  dan kaitkan dengan tambah,  tolak,  darab,  dan bahagi.

4.  Sokongan



* Luangkan masa untuk bersama-sama mereka semasa mereka sedang belajar.
* Cuba untuk berada di sisi mereka ketika mereka memerlukan bantuan berkaitan sesuatu yang mereka tidak fahami.
*  Sokongan kita memberikan mereka semangat untuk belajar dengan tekun dan penuh minat.


5.  Galakan

(i)  Galakkan minat belajar seawal usia 1 tahun


* Biarkan mereka membiasakan diri dengan pensil dan kertas.  Biarpun sekadar contengan di kertas putih,  itu adalah permulaan yang baik untuk mereka.

* Biasakan mereka dengan buku-buku,  perkara biasa apabila mereka mengoyakkan buku dalam usia mereka.  Beli buku yang murah.  Lama kelamaan mereka akan faham,  dan berdisiplin untuk menjaga buku mereka.  (Practice make Perfect).

(ii)  Sediakan kemudahan untuk menggalakkan mereka belajar





Walau apa pun usaha yang kita lakukan untuk membuatkan mereka seronok untuk belajar,  selalulah ingatkan mereka bahawa " Usaha itu jauh lebih penting daripada hasilnya."

Janganlah kita bunuh kegembiraan zaman kanak-kanak mereka untuk memberikan kepuasan dan mendatangkan pujian kepada kita di atas kecemerlangan mereka.

Seimbangkanlah antara akademik,  rohaniah,  riadah,  dan sosial anak-anak ini.  InsyaAllah kecemerlangan akan datang dengan kegembiraan mereka.

Disediakan oleh:
  Siti Nurhayati Binti Dollah. Artikel diambil daripada blog missyati.com.

No comments: